10 Fakta Tentang Kapal Titanic Yang Anda Mungkin Tak Tahu..|TANGGAL 14 April 1912 iaitu kira-kira 103 tahun lalu, satu sejarah tersimpul dalam ingatan masyarakat dunia apabila berlakunya tragedi kapal RMS Titanic karam di lautan Anlantik.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.40 malam apabila ia melanggar ketulaniceberg ketika dalam perjalanan menuju ke New York, Amerika Syarikat.
Dua jam selepas hentakan kuat berlaku, Titanic tenggelam sekaligus mengorbankan 1,517 nyawa yang terdiri daripada penumpang dan anak kapal.
Semua sedia maklum, pada tahun 1997, sebuah filem berkisarkan peristiwa ini telah ditayangkan dan mendapat sambutan luar biasa.
Namun demikian, masih terdapat banyak fakta menarik tentang kapal gah itu yang belum diketahui ramai.
Melalui artikel ini, terdapat 10 informasi berkenaan RMS Titanic yang anda mungkin tak tahu. Jom baca…
1. Latihan Keselamatan Telah Dibatalkan
Berdasarkan laporan, satu latihan keselamatan bersama penumpang sepatutnya diadakan pada hari kejadian, namun ia dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Bayangkan kalau ia dilakukan, pastinya banyak nyawa akan dapat diselamatkan.
2. Cuma 37 Saat Sebelum Langgar Ketulan Ais Besar
Ketika pengawal menyedari tentang kewujudan iceberg berkenaan di tengah laluan kapal, pegawai bertugas cuma mempunyai 37 saat untuk mengubah haluan kapal ke arah lain, dan pastinya ia sangat mustahil untuk dilakukan. Ia menjadi punca tunggal tenggelamnya kapal mega tersebut.
3. Titanic Miliki Akhbar Sendiri
Titanic memiliki akhbar sendiri, Atlantic Daily Bulletin yang menyiarkan berita merangkumi dunia politik, ekonomi dan hiburan. Malahan, ia turut menampilkan menu harian yang disediakan di atas kapal.
4. Bot Keselamatan Tak Dipenuhi Penumpang
Menurut laporan, walaupun bot keselamatan yang disediakan tidak mencukupi, namun ruang yang ada tidak digunakan sebaiknya kerana ia tidak dipenuhi dengan kapasiti sepatutnya.
Bot pertama yang dilepaskan hanya diisi 12 orang walaupun ia sepatutnya boleh memuat sejumlah 40 orang. Begitu juga dengan bot-bot lain yang cuma diisi 20-30 orang sedangkan ia boleh dinaiki hampir 65 orang.
5. Ratusan Penumpang Kongsi 2 Tab Mandi
Kebanyakan penumpang kelas bawahan perlu berkongsi bilik air (kecuali penumpang kelas pertama yang memiliki ruang mandi sendiri). Kira-kira 700 penumpang kelas ketiga paling malang apabila terpaksa berkongsi dua tab mandi.
6. Kapal Terdekat Tak Beri Respon
Ketika isyarat keselamatan dilancarkan di ruang udara, sebuah kapal iaitu The Californian dikatakan berada pada jarak berdekatan namun tidak memberi respon. Kalaulah kapten kapal tersebut beralih arah dan menuju ke tempat kejadian untuk membantu mangsa, pastinya ramai yang berjaya diselamatkan.
7. Dua Anjing Diselamatkan
Walaupun ramai yang dihalang untuk menaiki bot keselamatan terutamanya golongan lelaki kerana para pengawal keselamatan lebih mengutamakan golongan wanita dan kanak-kanak, namun dua ekor anjing dilaporkan berjaya menaiki bot berkenaan.
8. Serombong Keempat Hanya Hiasan Semata
Hanya kerana pereka kapal tersebut berasakan Titanic akan kelihatan lebih gah dengan empat serombong, maka salah satunya cuma dibina sebagai hiasan dan tidak berfungsi langsung!
9. Titanic Sebagai Kapal Penghantar Surat
Selain menjadi kapal penumpang, Titanic turut berfungsi sebagai kapal penghantar surat. Kapal tersebut membawa lima buah peti surat yang diisi dengan ribuan pucuk surat, namun sehingga kini kesemua surat itu gagal ditemui.
10. Lautan Atlantik Jadi ‘Tanah Kubur’
Kapal CS Mackay-Bennett menghabiskan lima hari untuk mencari sebanyak mungkin jasad mangsa dan ia dibekalkan dengan 40 bahan pengawet, ais dan 100 buah keranda. Para penyelamat berjaya menemui lebih 300 mayat, namun 119 daripadanya berada dalam keadaan mengerikan lantas ianya terpaksa dibiarkan di situ sahaja.