Polis di Porirua tidak dapat mengenal pasti mayat berkenaan disebabkan keadaan yang reput teruk, tetapi percaya ia Debiprasad Majumdar. Mereka masih menunggu laporan bedah siasat dan pergigian untuk mengesahkannya.
Jiran yang dikenali sebagai Rebecca berkata, dia mengetuk pintu rumah Debiprasad pada 6 Ogos lalu untuk meminta jirannya memberi kucingnya makan selama beberapa hari.
“Bagaimanapun, isterinya enggan membuka pintu sebaliknya membuka tingkap sedikit saja untuk bercakap dengan saya.
“Wanita itu mendakwa suaminya sibuk, tetapi dia akan membantu saya sepanjang pemergian saya selama beberapa hari,” katanya.
Rebecca mengesyaki sesuatu tidak kena apabila pulang pada 21 Ogos dan mendapati bau terlalu busuk dari rumah berkenaan.
Isteri Debiprasad bagaimanapun mendakwa bau itu cuma sampah dan dapat dihapus menggunakan Dettol.
Wanita itu juga tidak membenarkan pegawai perumahan yang datang memeriksa masuk ke rumah berkenaan pada 26 Ogos lalu. Polis yang datang memeriksa juga tidak dibenarkan masuk walaupun ketika itu bau terlalu busuk.
Akhirnya Rebecca membuat laporan di balai menyebabkan polis datang ke rumah dan melihat sendiri mayat lelaki berkenaan. Isterinya kini ditahan di pusat jagaan kebajikan masyarakat sementara siasatan diselesaikan.