Jenazah Mendiang Magaret Diterbangkan Ke Sarawak Esok


KUCHING: Jenazah mendiang Inspektor Pentadbiran Trafik, Kluang Johor Inspektor Magaret Tagum anak Goenyang meninggal dunia akibat terlibat dalam satu kemalangan jalan raya semalam akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak esok (7 September 2015).

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi pemberita sebentar tadi berkata, jenazah mendiang akan diterbangkan dari Johor ke Lapangan terbang KLIA pada jam 8.30 malam ini.

Jenazah mendiang dijangka akan diterbangkan dari Lapangan terbang KLIA ke Lapangan Antarabangsa Kuching pada jam 9.25 pagi esok (7 September 2015) dan dijangka tiba di sini lebih kurang jam 11.15 pagi sebelum dibawa balik ke kampung mendiang; Kampung Bogag, Jalan Serikin, Bau.

Antara pegawai-pegawai tertinggi PDRM yang akan turut menunggu jenazah mendiang esok ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Sabtu Osman.

Dalam kejadian tersebut, Magaret, 32-tahun, sedang melakukan sekatan jalan raya Ops Roda/Rempit bersama 20 anggota dan pasukan sukarelawan polis .di Kilometer 58 Jalan Batu Pahat-Mersing lebih kurang 2.40 pagi, hari ini.

Difahamkan, operasi itu bermula 1.30 pagi namun, selepas sejam kemudian terdapat sekumpulan penunggang motosikal dari arah Mersing menuju bandar Kluang cuba meloloskan diri namun salah seorang daripadanya kemudian turut merempuh Margaret.

Magaret yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sejak lima tahun lalu, kemudian dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

Beliau dilaporkan kritikal akibat patah tangan kiri, tulang pinggul dan kaki selain pendarahan dalaman di perut sebelum disahkan meninggal oleh pihak hospital, 12.45 tengah hari ini. - Sarawakiana

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »