Johor Bahru – Polis Johor mengesahkan bekas peguam kepada kerabat diraja Johor yang dikehendaki sejak 2012, ditahan di Singapura, pagi tadi.
Kamarul Hisham Jaafar dikehendaki sejak tiga tahun lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menyeleweng wang RM660,000 milik sebuah syarikat berpangkalan di Johor, Southern Ads Sdn Bhd yang dikatakan mempunyai kaitan dengan istana Johor.
Kamarul sebelum ini dikatakan tinggal di Dubai setelah melarikan diri kerada didakwa menyeleweng wang RM660,000 milik sebuah syarikat berpangkalan di Johor, Southern Ads Sdn Bhd yang dikatakan mempunyai kaitan dengan istana Johor.
Beliau meninggalkan negara pada April 2011 selepas laporan polis terhadapnya dibuat pada 31 Mac oleh syarikat tersebut, yang mendakwa bahawa terdapat elemen jenayah berhubung cara beliau mengendalikan syarikat berkenaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad berkata, beberapa pegawai sudah diarahkan ke Singapura untuk membawa pulang individu terbabit ke negeri ini.
“Kita menerima maklumat tentang penahanan itu dan saya sudah arahkan pegawai untuk ke Singapura bagi membawa pulang ke sini dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Beliau berkata, tangkapan dibuat polis Singapura pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.
Difahamkan, dia yang berusia 40-an itu tiba di Singapura malam semalam dari Timur Tengah bagi menziarahi saudaranya yang dirawat di sebuah hospital di negara tersebut.
Kamarul sebelum ini dikecam apabila menggesa Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar segera melepaskan tahta pemerintahannya dan masuk ke arena politik.
Beliau menerusi status di laman Facebook berkata, gesaan itu dibuat ekoran dari kecenderungan dan minat yang ditunjukkan oleh baginda dalam isu-isu politik tanahair sejak kebelakngan ini.