Bayi hasil sperma ayah yang meninggal dunia selamat dilahirkan
Seorang wanita warga Australia dilaporkan berjaya melahirkan seorang bayi lelaki selepas mengandung hasil sperma suaminya yang telah meninggal dunia selama 48 jam. Dia yang sebelum itu bersedih dengan kematian suaminya itu telah mengambil keputusan untuk berjuang di Mahkamah Agung Australia bagi mendapatkan kebenaran mendapatkan sperma suaminya yang terbunuh dalam satu kemalangan motosikal beberapa bulan yang lalu. Menurut pakar perubatan, mereka pada mulanya tidak pasti sama ada prosedur itu akan berjaya atau tidak.
Ini kerana, mahkamah ketika itu mengambil masa selama dua hari untuk memutuskan sama ada ibu itu patut dibenarkan untuk menerima sperma suaminya yang sudah meninggal dunia itu untuk mengandung. Menurut Pakar IVF Steve Robson, kisah cinta yang luar biasa ini adalah sebab utama mengapa dia mahu membantu ibu tunggal itu. “Sebagai pengamal perubatan, kami kagum dengan kasih sayang dan kekuatan wanita itu dalam menangani segala rintangan yang dihadapinya,” katanya yang dipetik dari laporan Metro.Uk.
Oleh kerana prosedur itu tidak dibenar dilakukan di Adelaide, wanita berkenaan dibawa ke Canberra untuk menjalani prosedur itu. Menurut jurubedah, Profesor Kelton Tremellen, dia pada mulanya berpendapat perkara ini hanya membuang masa dan tidak seharusnya dilakukan. Akhirnya, beliau bersetuju untuk melakukan pembedahan itu kerana menghormati keputusan yang dibuat oleh wanita berkenaan atas sebab kasih sayang terhadap suaminya. -Awani