BAYI DILAHIRKAN MASIH DALAM KETUBAN YANG TIDAK PECAH

Bayi Dalam Ketuban
California: Doktor di sebuah hospital di sini terkejut apabila seorang bayi lelaki dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean masih di dalam ketubannya yang tidak pecah.
Bayi dinamakan Silas Philips itu dilahirkan tiga bulan lebih awal dari dijadualkan dan dianggap keajaiban oleh doktor yang menyambutnya, Dr William Binder.
Ketika dilahirkan di Pusat Perubatan Cedars-Sinai, California, tangan dan kakinya selain uri serta tali pusat dapat dilihat jelas di dalam ketuban itu.
Malah, sehingga ketuban itu dipecahkan, dia masih menerima oksigen menerusi urinya.
Lazimnya, ketuban pecah ketika bayi dilahirkan dan menjadi penanda untuk si ibu.
Ia turut boleh pecah ketika pembedahan Caesarean apabila dipotong doktor untuk mengeluarkan bayi.
Menurut doktor, kejadian seumpama itu amat jarang berlaku.
“Kami semua tergamam melihat kejadian ini. Pasti ini kenangan tidak akan dilupakan.
“Saya sempat mengambil gambar kerana menganggap pengalaman ini terlalu menakjubkan,” katanya.
Sementara itu, ibu bayi berkenaan tidak menyedari apa yang berlaku sehingga Dr Binder menunjukkan gambar Silas kepadanya.
“Kepala dan rambutnya dapat dilihat jelas di dalam selaput lutsinar. Dia masih meringkuk seperti di dalam rahim.
“Terus saya terfikir, wah memang anak ini istimewa!” katanya.
Silas dilahirkan pada usia 26 minggu namun sihat dan doktor yakin dia boleh pulang bersama keluarganya bulan depan.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »