Seorang lelaki warga tempatan berjaya diberkas oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan. Kejadian berlaku sekitar pukul 9.15 malam semalam di tapak pesta ria bersebelahan sebuah pasaraya di Tanah Putih. Mangsa dan rakannya telah ternampak sebuah motosikal bersama anak kunci motosikal yang diletakkan di suis motosikal tersebut.
Mangsa yang bimbang motosikal itu dicuri telah mengambil langkah dengan mengambil anak kunci motosikal untuk disimpan dan meninggalkan nota di atas motosikal.
Tiba-tiba seorang lelaki yang tidak dikenali oleh mangsa datang menikam belakang mangsa menggunakan sebilah pisau rambo. Lantas mangsa menjerit kesakitan dan berlaku pergelutan dengan suspek. Seterusnya, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam.
Mangsa telah mengalami kecederaan akibat tikaman yang menyebabkan paru-paru mangsa koyak dan rakan mangsa telah mengalami luka di tangan dan kaki. Tidak berakhir di situ, suspek akhirnya berjaya diberkas dan pihak polis turut merampas senjata yang digunakan suspek.
Hasil soal siasat, suspek telah bertindak sedemikian setelah kehilangan motosikal miliknya minggu lepas di lokasi yang sama dan mengambil keputusan untuk mengumpan motosikal milik abangnya. Suspek telah meninggalkan anak kunci di suis motosikal serta memerhatikan dari jarak jauh lalu menyangka mangsa adalah suspek yang telah mencuri motosikal miliknya yang telah hilang.
Suspek, 26 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 KK. Orang ramai dinasihatkan agar mengambil iktibar dan jangan mengambil tindakan terburu-buru, sebaik-baiknya rujuk kepada pihak berkuasa untuk membantu.