Nafi Wujud Kedai Cuci Kereta, Guna Wanita Seksi

PULAU PINANG: Polis Pulau Pinang menafikan kewujudan kedai mencuci kenderaan di negeri ini yang menggunakan perkhidmatan wanita berpakaian seksi untuk mencuci kereta seperti yang tersebar di laman sosial Facebook dan Whatsapp sejak kelmarin.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sebaik mendapat maklumat berhubung perkara itu, polis membuat pemeriksaan dan pemantauan di kedai-kedai mencuci kenderaan di negeri ini.
“Selepas pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan oleh pihak polis semalam, saya sahkan tidak wujud kedai mencuci kereta menggunakan wanita-wanita seksi seperti dalam gambar yang tersebar itu.
“Lagipun situasi itu bukan budaya rakyat Malaysia. Setakat ini kami juga tidak menerima sebarang laporan polis berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan dan Ikrar Bulanan Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini semalam.
Sejak kelmarin gambar beberapa wanita berpakaian seksi sedang mencuci kereta di sebuah kedai cuci kenderaan tersebar di laman sosial dan mendakwa kedai itu terletak di George Town.
Berikutan penyebaran gambar itu, orang ramai terutama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mahu pihak berkuasa terutama polis dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang menyiasat perkara itu kerana ia memburukkan imej negeri ini.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata Kontinjen Pulau Pinang akan melantik perunding imej dan konsultan dalam usaha memastikan anggota dan pegawainya menjaga keterampilan diri dari segi pakaian, kekemasan dan kesihatan tubuh badan terutama dalam mematuhi indeks jisim tubuh (BMI)
“Konsultan dan perunding imej yang akan dilantik itu akan membimbing warga polis Pulau Pinang terutama mereka yang BMI melebihi 27.5 atau obes bagi memantapkan keterampilan fizikal serta menjaga pemakanan seimbang,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahim berkata indeks jenayah Pulau Pinang menunjukkan penurunan 853 kes atau 14.34 peratus sejak Januari hingga kelmarin berbanding tempoh sama tahun lepas yang merekodkan 5,948 kes.
Dalam perkembangan lain, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zakaria Ahmad berkata polis menahan 188 orang termasuk 133 rakyat asing dalam pemeriksaan di 42 pusat hiburan di Pulau Pinang sejak 27 Sept lepas hingga semalam.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »