Hukum Bersalam dengan wanita ajnabi?

Berdasarkan pengamatan ulama, seorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan wanita ajnabi.
Seorang tokoh mazhab Shafie yang disegani, Imam al-Nawawi menegaskan :
‘Sesungguhnya halal melihat kepada wanita ajnabi jika ia ingin menikahinya, atau ketika urusan jual beli, atau ketika mengambil sesuatu barang atau memberi kepadanya dan seumpamanya dan tidak harus menyentuhnya dalam sesuatu situasi berkenaan’. (al-Azkar, 228).

Dalilnya ialah ummul Mukminin Aisyah r.a pernah bersumpah menafikan Rasulullah s.a.w. pernah menyentuh tangan wanita dalam bai’ah peristiwa hijrah :

‘Demi Allah, tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita pun, baginda hanya berbai’ah dengan ucapan’. (Fath al-Bari 11/345-346 dan Sharh Sahih Muslim 13/10).

Hadis ini menjelaskan bahawa bai’ah wanita hanya berlaku dengan ucapan sahaja tanpa bersalaman. (Sharh Sahih Muslim 13/10).
Ini disokong oleh satu riwayat lain di mana Umaimah binti Raqiqah r.ah pernah berkata :
‘Aku datang kepada Rasulullah s.a.w. dalam kumpulan wanita, kami ingin berbai’ah dengannya. Kami berkata : “Kami berbai’ah denganmu wahai Rasulullah bahawa kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, kami tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan membuat cerita dusta yang direka-reka serta kami tidak akan mengingkari perintahmu pada kebenaran”. 
Lantas Rasulullah s.aw. bersabda : 
“Pada perkara yang kamu mampu dan berdaya”. 
Umaimah menceritakan lagi : 
“Kami berkata bahawa Allah dan RasulNya lebih mengasihani kami daripada diri kami, ayuhlah kami ingin berbai’ah denganmu wahai Rasulullah”.
Lalu Nabi s.a.w menjawab : 
“Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita, sesungguhnya perkataanku kepada seratus orang wanita adalah seperti perkataanku kepada seorang wanita atau seumpama perkataanku kepada seorang wanita”.
(HR al-Tirmizi 4/151-152, al-Nasa’i 7/149, Ibn Majah 2/959. al-Tirmizi menyebut : ‘Hadis ini hadis hasan sahih).
Hadis ini adalah nas yang jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. tidak bersalaman dengan wanita ketika berbai’ah. Jika Nabi seorang yang maksum tidak bersalaman ketika bai’ah, maka lebih aula hukumnya dalam situasi selain bai’ah. Apabila Rasulullah s.a.w. tidak bersalaman dengan wanita, sudah tentu kita juga wajib mengikut sunnah baginda kerana baginda s.a.w. adalah qudwah dan ikutan kita semua.
Wallahualam

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »