Tasik Gelugor : “Perompak tu sempat minta maaf dekat makcik, dia kata terpaksa buat macam ni sebab nak balik raya, tapi semua sudah tak berguna, angkara mereka, suami makcik meninggal," luah seorang mangsa rompakan di Kampung Padang Chempedak, semalam.


Rubiah Hassan, 63, berkata, ketika kejadian dia bersama menantunya sedang tidur di ruang tamu rumah dua tingkat milik mereka manakala suaminya, Samsudin Bakar, 67, tidur bersendirian dalam bilik.


“Makcik tersedar apabila seorang daripada perompak menekup kepala makcik, memang tak terdaya masa tu, perompak pula ramai, makcik anggar dalam lima hingga tujuh orang.






“Mereka ikat makcik, nasib baik menantu makcik yang tengah berpantang selepas melahirkan anak tidak apa-apakan, kemudian makcik lihat mereka meluru masuk ke dalam bilik suami makcik,” katanya.



Menurutnya, selepas mengambil beberapa barang miliknya, termasuk barang kemas dan wang tunai, perompak itu terus melarikan diri melalui pintu belakang.


“Masa itu makcik tak tahu lagi keadaan pakcik macam mana, takut hanya ALLAH sahaja yang tahu, bayangkan dalam keadaan masa itu yang agak kelam kabut.


“Cuma seorang perompak sempat meminta maaf kepada makcik, mereka terpaksa buat macam ini sebab makcik ada duit, mereka nak guna duit nak balik kampung, masa itu memang makcik tak terkata apa, sebab terkejut.


“Selepas perompak melarikan diri, makcik terus mendapatkan suami, terkejut apabila mendapati suami makcik tidak lagi bernyawa," katanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, sekumpulan penjenayah bertopeng bertindak masuk ke dalam rumah keluarga tersebut.


Menurut sumber, mangsa yang maut menjalankan perniagaan menjual lembu.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zakaria Ahmad berkata, siasatan awal mendapati terdapat kira-kira lima hingga tujuh lelaki bertopeng dipercayai terlibat.


“Ada enam mangsa dalam rumah tersebut, kesemua mangsa diikat oleh kumpulan perompak ini sebelum mereka bertindak menggeledah barangan milik mangsa.


“Seorang warga emas maut manakala seorang lagi dipercayai anak mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat dihentak dengan menggunakan hulu parang oleh perompak terbabit.


“Polis masih siasat punca sebenar kematian mangsa dan mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat,” katanya.


Katanya, pemeriksaan polis mendapati tingkap kanan, pintu hadapan serta belakang diumpil oleh kumpulan perompak ini, mereka dipercayai melarikan diri ke arah belakang rumah.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »