SEKUMPULAN remaja yang kononnya mahu berseronok sambil ‘bermain’ culik-menculik dengan tidak semena-mena telah menyeksa, membunuh dan menanam seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun. Sekumpulan remaja antara 11 hingga 15 tahun, termasuk dua perempuan berusia 13 tahun itu menculik Christopher Raymundo Márquez Mora sebelum menyeksa kanak-kanak tersebut.
Kedua-dua tangan Christopher diikat kemudian dilontar batu, serta ditikam dari belakang dan kumpulan remaja tersebut menanam kanak-kanak lelaki itu di dalam lubang yang cangkat. Christopher dilaporkan hilang sejak Khamis dan akhirnya mayat kanak-kanak tersebut ditemui pada Sabtu. Menurut Pendakwa raya Chihuahua, negeri di sempadan Mexico, kumpulan remaja tersebut bertindak demikian kerana menganggap itu seperti satu permainan culik-menculik.
Laporan yang diterima menjelaskan, Christopher telah diajak bermain serta mengumpul kayu api di tepi sungai. Mereka ke kawasan sungai bersama-sama dan kumpulan remaja itu memberitahu Christopher mereka akan melakukan adegan penculikan untuk berseronok. Tangan serta kaki kanak-kanak itu kemudiannya diikat dan mereka mula memukul Christopher menggunakan kayu berduri dan mencekiknya.
Salah seorang daripada mereka mula menggali lubang dan rakannya yang lain menarik mayat Christopher ke dalam lubang tersebut. Tidak berpuas hati dengan kedudukan badan Christopher yang tidak dapat ditanam dalam lubang itu, salah seorang daripada remaja itu menikam Christopher dari belakang dan melontarkan batu ke arahnya.
Setelah yakin kanak-kanak itu tidak bernyawa, kumpulan remaja tersebut menanam sebahagian lagi badan Christopher dan meletakkan rumpai serta bangkai haiwan supaya ia tidak menarik perhatian orang ramai. Pendakwa raya, Sergio Almaraz berkata, tindakan tersebut merupakan idea daripada salah seorang remaja berusia 15 tahun. “Ia merupakan idea daripada salah seorang remaja yang berusia 15 tahun yang mencadangkan kepada kumpulannya untuk membunuh kanak-kanak lelaki itu,” kata Almaraz.
Almaraz juga meluahkan kebimbangan mengenai pembunuhan yang menunjukkan masalah sosial dan tiada nilai murni di kalangan remaja ketika ini. Satu kenyataan telah dikeluarkan oleh pendakwa negeri yang menyatakan kumpulan remaja tersebut mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan Christopher. Dua remaja berusia 15 tahun itu menghadapi tuduhan jenayah manakala yang lain telah diserahkan kepada pihak berkuasa. -AP